Juraij ialah seorang ahli ibadah yang alim dan sentiasa taat beribadat kepada perintah Allah. Beliau memiliki sebuah tempat ibadah dan pada masa yang beliau menjadikan tempat itu sebagai tempat tinggalnya. Juraij tidak pernah keluar dari tempat ibadahnya kecuali jika ada hal yang amat penting sahaja.
Pada suatu hari, semasa Juraij sedang tekun menunaikan solat sunat, ibunya datang lalu memanggilnya, "Juraij...Ya Juraij...". Hati Juraij mula berbelah bahagi sama ada mahu meneruskan solat ataupun menjawab panggilan ibunya itu. Juraij berbisik dalam hatinya, "Ya Allah, manakah yang perlu aku dahulukan, meneruskan solatku ataupun memenuhi panggilan ibuku..?". Kemudian, beliau pun membuat keputusan untuk meneruskan solatnya dan tidak menyahut panggilan ibunya itu. Pada keesokan harinya pun begitu juga, Juraij tetap memilih solat daripada menjawab salam ibunya. Peristiwa ini berlaku sebanyak 3 kali berturut-turut. Ibu Juraij berasa amat kecewa dengan sikap anaknya itu dan berdoa, "Ya Allah, janganlah Engkau matikan anakku sebelum dia melihat muka seorang wanita pelacur."
Nak pendekkan cerita, sedang orang-orang Bani Israil menyebut-nyebut tentang ketekunan ibadah Juraij, datang pula seorang wanita yang bekerja sebagai pelacur yang sangat cantik rupa parasnya. Wanita itu mendekati mereka lalu berkata, "Jika kamu menghendaki, aku akan memberinya fitnah."
Wanita pelacur itu mendatangi dan cuba untuk menggoda Juraij di suatu hari itu bagi tujuan memalukan Juraij. Juraij yang mempunyai iman yang kuat berjaya memperdulikan pelacur itu. Setelah gagal untuk menggoda Juraij, wanita itu pergi dari situ dan mendatangi pula seorang penggembala yang sedang berehat di tempat ibadah Juraij, lalu mereka pun melakukan zina. Akhirnya, wanita itu hamil. Selepas wanita itu melahirkan anaknya itu, dia mendakwa dan menuduh Juraij sebagai bapa kepada anak yang baru dilahirkan itu.
Maka dengan tuduhan itu, orang ramai mula berasa marah dengan perbuatan Juraij lalu pergi berjumpa dengan Juraij. Mereka memaksa Juraij keluar dari tempat ibadahnya lalu mereka bertindak memukul, memaki-hamun dan merobohkan tempat ibadahnya. Juraij yang terkejut dengan perbuatan yang dilakukan terhadapnya bertanya kepada mereka, "Apa yang sedang berlaku, dan kenapa kamu semua melakukan semua ini terhadap aku?" Mereka pun menjawab, "Engkau telah berzina dengan pelacur ini, sehingga melahirkan seorang bayi."
Setelah Juraij mendengar tuduhan itu, beliau meminta orang ramai membawanya ke tempat bayi berkenaan. Setibanya mereka di tempat bayi tersebut, Juraij meminta izin untuk solat terlebih dahulu. Sudah selesai solat, beliau membelai bayi itu sambil berkata, "Wahai bayi! Siapakah bapamu?" Dengan kekuasaan Allah bayi itu pun menjawab, "Bapaku adalah seorang penggembala."
Serta merta orang-orang pun berhambur, menciumi dan meminta maaf kepada Juraij kerana kesilapan mereka. Akhirnya nama Juraij kembali bersih. Orang ramai yakin sesungguhnya Juraij tidak bersalah. Mereka kemudian berkata, "Kami akan membangunkan semula tempat ibadah untukmu daripada emas!" Tetapi Juraij menjawab, "Jangan! Cukup dari tanah sahaja sebagaimana rupa asalnya semula." Mereka pun membangunkan tempat ibadah yang baru sebagaimana yang dikehendaki oleh Juraij.
Di saat kematiaan Juraij, orang ramai mencadangkan agar Juraij disemadikan di dalam sebuah masjid diperbuat daripada emas. Mendengarnya, Juraij menentang. Katanya memadailah jika beliau disemadikan seperti yang lain.
Demikianlah, makbulnya doa seorang ibu. Walaupun hebat mana pun ibadah Juraij terhadap Allah, namun apabila dia menyakiti hati ibunya maka Allah menurunkan ujian seperti mana doa yang dikehendaki oleh ibunya, Oleh itu, sebagai seorang anak, janganlah sesekali melakukan sesuatu perkara yang akan mengguris hati dan perasaan seorang ibu. InsyaAllah...
Sabda Rasulullah SAW :-
"Reda Allah bergantung kepada reda kedua ibu bapa, dan murka Allah bergantung kepada murka kedua ibu bapa"
(Hadis Riwayat Al-Hakim)
Sabda Rasululla SAW :-
"Tetaplah engkau berada dekat kaki ibumu itu, kerana di sana beradanya syurga"
(Hadis Riwayat At-Tabani)
No comments:
Post a Comment