Total Pageviews

Sunday, 26 January 2014

Kisah Azazil(Ketua Malaikat) Diusir Dari Syurga

     Ramai yang beranggapan, Azazil ataupun Azazel ialah makhluk ciptaan Allah yang sejenis dengan Malaikat. Namun sebenar-benarnya Azazil bukanlah malaikat, ia adalah iblis yang asalnya dari golongan jin yang kuat beribadat. Azazil ketua malaikat. Berikut ialah kisah Azazil diusir dari syurga kerana sikap takbur.Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat:

“Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan iblis; dia adalah berasal dari golongan jin…”
 (Surah Al-Kahf : ayat 50)

     Iblis pada mulanya bernama Azazil dan tinggal di bumi. Azazil adalah jin yang taat kepada Allah. Dia menyembah Allah selama 1000 tahun, lalu Allah swt mengangkatnya ke langit pertama. Di langit pertama, Azazil beribadah menyembah Allah swt selama 1000 tahun. Kemudian dia diangkat ke langit kedua. Begitu seterusnya hingga akhirnya dia diangkat menjadi ketua malaikat ataupun imam kepada para malaikat. Apa pun perintah Allah kepada malaikat juga adalah perintah baginya, kerana dialah imam para malaikat yang memimpin malaikat.

     Azazil adalah imam kepada kepada seluruh malaikat. Ibadahnya kepada Allah banyak. Ada riwayat yang menyatakan Azazil beribadah kepada Allah selama 80,000 tahun dan tiada tempat di dunia ini yang tidak dijadikan tempat sujudnya ke hadrat Allah.
Dalam satu riwayat menceritakan, akan malaikat Israfil melihat yang tersurat di Loh Mahfuz ada tercatat satu suratan berkenaan : “Adanya satu hamba Allah yang beribadah selama 80,000 tahun tetapi hanya kerana satu kesalahan, maka ibadah hamba itu tidak diterima Allah dan hamba itu terlaknat sehingga hari Kiamat”.

     Maka menangislah Israfil kerana bimbang makhluk yang tersurat di Loh Mahfuz itu adalah dirinya. Maka diceritakanlah Israfil kepada segala malaikat pengalamannya melihat apa yang tersurat di Loh Mahfuz. Maka menangislah sekelian malaikat kerana takut dan bimbang nasib mereka. Lalu kesemua malaikat datang menemui Azazil yang menjadi imam kepada para malaikat, agar Azazil akan mendoakan keselamatan dunia dan akhirat kepada seluruh malaikat. Azazil pun mendoakan keselamatan di dunia dan akhirat kepada seluruh malaikat dengan doa :“Ya Allah, Janganlah Engkau murka terhadap mereka (para malaikat)”

    Malangnya, Azazil lupa untuk mendoakan keselamatan untuk dirinya. Selepas mendoakan kesemua para malaikat, Azazil terus menuju ke syurga. Di atas pintu syurga, Azazil terlihat suratan yang menyatakan : “Ada satu hamba dari kalangan hamba-hamba Allah yang muqarrabin yang telah diperintahkan Allah untuk membuat satu tugasan, tapi hamba tersebut mengengkari perintah Allah. Lalu dia tergolong dalam golongan yang sesat dan terlaknat”



     Selain doanya yang mustajab, Azazil juga dikenali juga sebagai Sayyidul Malaikat alias (penghulu para malaikat) dan Khazinul Jannah (bendaharawan syurga). Semua lapis langit dan para penghuninya, menggelarkan Azazil dengan sebutan penuh kemuliaan meskipun berbeza-beza iaitu :

1. Di langit lapis pertama , ia digelar sebagai A’bid, ahli ibadah yang mengabdi luar biasa kepada Allah.


2. Di langit lapis kedua, ia digelar sebagai Raki’ atau ahli rukuk kepada Allah.


3. Di langit lapis ke tiga, ia digelar Saajid atau ahli sujud yang sentiasa sujud kepada Allah.


4. Di langit ke empat, ia digelar Khaasyi kerana selalu merendahkan diri(khusyuk) dan takluk kepada Allah.


5. Di langit lapis kelima, ia digelar sebagai Qaanit kerana ketaatannya kepada Allah.


6. Di langit keenam,ia digelar Mujtahid, kerana ia bersungguh-sungguh(ijtihad) ketika beribadah kepada Allah.


7. Di langit lapis ketujuh, ia digelar Zaahid, kerana bersederhana dalam menggunakan sarana hidup.

     Selama 120 ribu tahun, Azazil, si penghulu para malaikat menyandang semua gelar kehormatan dan kemuliaan, hingga tibalah ketika para malaikat melakukan musyawarah besar atas undangan Allah. Ketika itu, Allah, Zat pemilik kemutlakan dan semua niat, mengutarakan maksud untuk menciptakan pemimpin di bumi.

"Sesungguhnya Aku hendak menciptakan seorang khalifah (pemimpin) di muka bumi."
(Surah Al Baqarah :ayat 30)



Semua malaikat hampir serentak menjawab mendengar kehendak Allah :

"Ya Allah, mengapa Engkau hendak menjadikan khalifah di muka bumi, yang hanya akan membuat kerosakan dan menumpahkan darah di bumi, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau.”

(Surah Al Baqarah :ayat 30)

Allah menjawab kekhawatiran para malaikat dan meyakinkan bahawa,

"Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

(Surah Al Baqarah :ayat 30)


     Lalu Allah Menciptakan Adam a.s., dan memerintahkan malaikat untuk sujud menghormat kepada Adam a.s. Azazil, sebagai imam para malaikat, sepatutnya lebih dahulu bersujud memimpin para malaikat. Tetapi, dia menolak, kerana dia merasa bahawa dirinya lebih baik dari pada Adam. Sementara para malaikat lain terus sujud tanpa dipimpin oleh Azazil. Bukan sahaja dia enggan sujud, malah sombong dan menjawab kepada Allah :-

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; maka mereka sujudlah melainkan iblis; dia berkata: Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?” 
(Surah Israa :ayat 61) 

     Keengganan sujud ini berpunca dari hasad dengki iblis(Azazil), yang irihati apabila Allah hendak melantik Nabi Adam sebagai khalifah di bumi kerana ia dijadikan dari api sedangkan manusia dijadikan dari tanah yang busuk dan melekat. Ia derhaka kepada Allah, takabbur dan lupa daratan. Maka terhalaulah Azazil dari syurga. Namanya diubah kepada Iblis. Apabila Iblis diturunkan ke bumi, dia berjanji akan menyesatkan manusia serta keturunannya. Dia berkata lagi:

“Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya)”
(Surah Israa :ayat 62)


Allah berfirman (kepada iblis): 

“Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya Neraka Jahanamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup.” 
(Surah Israa : ayat 63)

     Sebagai penghulu para malaikat dengan semua gelaran dan sebutan kemuliaan, Azazil merasa tidak layak bersujud pada makhluk lain termasuk Adam kerana merasa penciptaan dan statusnya yang lebih baik. Allah melihat tingkah dan sikap Azazil, lalu bertanya serta memberi gelar baru baginya Iblis : "Hai Iblis, apakah yang menghalangimu untuk bersujud kepada yang telah Kuciptakan dengan kedua tangan-Ku. Apakah kamu menyombongkan diri (takabbur) ataukah kamu merasa termasuk orang-orang yang lebih tinggi?" Mendengar pernyataan Allah, bukan permintaan ampun yang keluar dari Azazil, sebaliknya ia malah menentang dan berkata,
"Ya Allah, aku (memang) lebih baik dibandingkan Adam. Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan Adam Engkau ciptakan dari tanah."

Mendengar jawapan Azazil yang sombong, Allah berfirman :

"Keluarlah kamu dari syurga. Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang diusir".

     Azazil(Iblis), sejak itu tak lagi berhak menghuni surga. Kesombongan dirinya, yang merasa lebih baik, lebih mulia dan sebagainya dibanding makhluk lain telah menyebabkannya menjadi penentang Allah yang paling nyata. Padahal Allah sungguh tak menyukai orang-orang yang sombong.

"Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia kerana sombong dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri. Dan sederhanakanlah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai."

     Bibit kesombongan dari Azazil sejatinya sudah bersemai sejak Israfil dan para malaikat mendatanginya agar mendoakan mereka kepada Allah. Waktu itu, ketika mendengar penjelasan Israfil, Azazil berkata : "Ya Allah! Hamba-Mu yang manakah yang berani menentang perintah-Mu, sungguh aku ikut mengutuknya."

     Azazil lupa, dirinya adalah juga hamba Allah dan tidak menyedari bahawa kata "hamba" yang tertera pada tulisan di pintu syurga, juga boleh menimpa kepada sesiapa saja, termasuk dirinya. Lalu, demi mendengar ketetapan Allah, Iblis bertambah nekat seraya meminta kepada Allah agar diberi dispensasi. Katanya : "Ya Allah, beri tangguhlah aku sampai mereka ditangguhkan.". Allah bermurah hati, dan Iblis mendapat apa yang dia minta iaitu masa hidup panjang selama manusia masih hidup di permukaan bumi sebagai khalifah. Dasar Iblis, Allah yang maha pemurah, masih juga ditawar. Ia lantas bersumpah akan menyesatkan Adam dan anak cucunya, seluruhnya, Kecuali hamba-hambaMu yang mukhlis di antara mereka. Maka kata Allah :"Yang benar adalah sumpah-Ku dan hanya kebenaran itulah yang Kukatakan. Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka jahanam dengan jenis dari golongan kamu dan orang-orang yang mengikutimu di antara mereka semuanya."

Wallahu’alam bissawab dan Allah lebih mengetahui yang sebenar-benarnya kerana Allah itu Maha Mengetahui dan lagi Maha Bijaksana...semoga kita boleh mengambil kisah ini sebagai iktibar buat diri kita...insyaAllah... :-)...




No comments:

Post a Comment