Total Pageviews

Saturday, 8 February 2014

25 Rasul (Part 1) - Nabi Adam Digoda Iblis

Assalamu'alaikum...seperti yang kita tahu, terdapat pelbagai kisah-kisah yang ada pada zaman para-para rasul kita...dalam kisah-kisah tersebut juga mempunyai banyak pengajaran yang boleh kita ambil sebagai iktibar seperti mana yang telah tertulis di dalam al-quran, surah yusuf...


"Demi sesungguhnya kisah para Nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. Ia bukanlah cerita-cerita yang diada-diadakan tetapi ia mengisahkan apa yang disebut dalam kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang(mahu) beriman"
(Surah Yusuf 12:111)

     Allah memberitahu para malaikat bahawa Dia akan menjadikan manusia. Allah menyuruh para malaikat mengambil tanah liat yang kering berasal daripada tanah kental yang berubah warna dan baunya. Setelah Allah menjadikan rupa bentuk manusia, Allah pun meniup roh kepadanya.

     Kemudian, Allah menyuruh para malaikat supaya sujud maka semua malaikat pun sujud kecuali Iblis(Azazil)[Kisah Azazil(Ketua Malaikat) Diusir Dari Syurga untuk tahu cerita selanjutnya]. Iblis sombong akan keturunannya yang dijadikan daripada nar(bimakna api), sedangkan Nabi Adam hanya daripada tanah liat kering. 

     Setelah itu, Nabi Adam tinggal seorang diri di dalam syurga. Ketika baginda termenung di bawah sepohon pokok, baginda ternampak sepasang burung sedang bergurau senda(berjenaka). Terdetiklah di hatinya mengharapkan seorang teman yang dapat bercakap dan berbual dengannya. Kemudian, baginda tertidur dan bermimpi didatangi oleh seorang wanita yang cantik. 

     Lalu, baginda pun tersedar daripada tidurnya dan mendapati bahawa ada seorang wanita cantik di sisinya. Wanita itu bernama Siti Hawa. Allah pun mengahwinkan mereka berdua dengan disaksikan oleh para malaikat. Maka, hiduplah mereka dengan bahagia di dalam syurga yang penuh nikmat. 

     Pada masa yang sama, Iblis pula berasa amat sakit hati akan Nabi Adam. Maka, Iblis meminta izin daripada Allah untuk menggoda Nabi Adam dan anak cucunya. Sebelum ini, Allah telah berpesan kepada Nabi Adam agar menjauhkan diri daripada sepohon pokok iaitu pokok khuldi. Kemudian, Iblis pun mencari peluang dengan memujuk Nabi Adam supaya mengambil buah larangan itu. Tetapi Nabi Adam tidak mahu kerana takut akan Allah. Iblis tidak mengaku kalah dan terus memujuk Siti Hawa pula. Akhirnya, dia tergoda lalu memujuk Nabi Adam supaya mengambil buah tersebut. Nabi Adam berasa kasihan akan Siti Hawa hingga terlupa akan larangan Allah lalu mengambil buah tersebut dan makan bersama-sama. Setelah mereka berdua memakan buah tersebut, Allah menghukum mereka lalu mencampakkan ke bumi dan hiduplah mereka di bumi dengan pelbagai rintangan.

     Sewaktu berada di dalam syurga yang penuh nikmat, Nabi Adam dan Siti Hawa hidup bahagia. Mereka tidak pernah berasa penat dan takut. Setelah Allah menurunkan mereka ke bumi, mereka mendapati bahawa bumi ini dipenuhi dengan pokok-pokok yang tinggi dan rumpu-rumput. Terdapat pelbagai jenis haiwan buas yang menimbulkan perasaan takut di dalam hati mereka berdua. Mereka bimbang jika binatang buas tersebut menyerang dan memakan mereka. 

     Nabi Adam dan Siti Hawa tinggal di dalam sebuah gua yang tinggi untuk menghindari daripada bahaya. Apabila berasa lapar, maka Nabi Adam terpaksa turun mencari makanan di tengah-tengah hutan. Nabi Adam terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan makanan dengan dibantu oleh Siti Hawa. Mereka bersusah payah menjalani kehidupan sebagai manusia pertama di atas muka bumi ini bersama-sama. 

     Tidak lama kemudian, Siti Hawa pun hamil. Setelah cukup tempohnya, dia pun melahirkan anak kembar iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. Anak lelaki mereka diberi nama Qabil manakala anak perempuan pula Iqlima. Nabi Adam sangat gembira dengan kelahiran kedua-dua anak kembarnya itu. 

     Siti Hawa tidak lagi dapat membantu Nabi Adam bekerja kerana dia telah mempunya tugas baru, iaitu menjaga kedua-dua cahaya mata mereka. Setahun kemudian, Siti Hawa hamil lagi dan melahirkan sepasang lagi anak kembar. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Anak lelaki itu bernama Habil dan anak perempuan itu pula bernama Labuda.

     Setelah Qabil dan Habil menjadi remaja, mereka membantu bapa mereka bekerja. Qabil berbadan besar dan kasar orangnya berbanding dengan Habil. Namun begitu, Habil pula bukan sahaja mempunyai tenaga yang lebih kuat malah dia sangat baik hati dan halus perasaannya. 

   Pada suatu hari, Nabi Adam memanggil kedua-dua anak lelakinya. Mereka berdua diberi tugas tambahan. Qabil ditugaskan bercucuk tanam manakala Habil pula ditugaskan menternak lembu dan kambing. Semakin hari rezeki mereka sekeluarga semakin bertambah. Kemudian, Nabi Adam terdetik untuk menguji kedua-dua anaknya itu, bahawa adakah mereka akan berterima kasih atas nikmat tersebut. Nabi Adam menyuruh Qabil dan Habil pergi ke puncak sebuah bukit dan meletakkan sebahagian daripada hasil usaha mereka. Tujuannya adalah supaya hasil tanaman dan ternakan itu akan dimakan oleh mana-mana makhluk Allah di muka bumi ini. Inilah yang dikatakan zakat(bimakna pembersihan) dan pengorbanan kepada Allah. 

     Habil sungguh gembira dengan arahan bapanya itu lalu memilih kambing yang gemuk manakal Qabil pula menerima dengan hati yang berat lalu memilih buah-buahan yang sudah busuk dan rosak. Ternyata korban Habil diterima oleh Allah kerana keikhlasannya. 

Wallahu'alam bissawab...

Maka dengan sesungguhnya, Iblis itu ialah musuh manusia yang nyata...kita mestilah melawan godaan Iblis dengan mentaati perintah Allah...dan bersyukurlah dengan segala pemberian dan nikmat yang telah Allah berikan kepada kita...jaga dan gunakanlah nikmat-nikmat tersebut dengan sebaik-baiknya...insyaAllah... :-)



No comments:

Post a Comment